Sunday, March 8, 2015

Tekanan Emosi dalam Kalangan Murid

Penulisan di bawah merupakan tugasan kerja kursus bagi subjek "Guru dan Cabaran Semasa" atau EDU 3093 yang telah saya lakukan.

TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID

1.0       PENGENALAN

Pendidikan merupakan suatu aspek yang amat penting dalam usaha membangunkan negara serta minda rakyat kelas pertama. Pendidikan yang berkualiti menjadi tunjang kepada negara bagi melahirkan generasi yang mampu bersaing dalam era globalisasi kini. Tambahan lagi dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), pendidikan telah digariskan sebagai salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang menjadi landasan dan titik permulaan dalam usaha menambah baik prestasi pelajar. Oleh hal demikian, RMK10 menetapkan umur bagi memulakan persekolahan akan dikurangkan daripada 6 tahun ke atas kepada 5 tahun ke atas. Hal ini bagi membolehkan murid memperoleh pendidikan yang kukuh pada peringkat lebih awal (Rancangan Malaysia Kesepuluh, 2010).

     Namun bagitu, dunia pendidikan bukanlah suatu bidang yang mudah untuk dikemudikan. Dunia pendidikan tidak lari daripada menghadapi pelbagai isu dan cabaran sama ada secara nasional mahu pun global. Setiap isu yang mendatangi dunia pendidikan pasti akan mencuri tumpuan segenap lapisan masyarakat. Lantaran itu, individu yang paling terkesan dalam isu-isu yang timbul pastinya insan yang bergelar “guru”. Saban hari, saban tahun, guru tidak pernah lekang daripada menghadapi isu-isu yang timbul sama ada isu pendidikan yang dipolitikkan, bebanan kerja guru serta bebanan tingkah laku murid, semuanya ditangani satu per satu tanpa membelakangkan etika keprofesionalan keguruannya.

            Oleh itu, dalam penulisan ini saya akan mengupas salah satu isu yang membelenggui guru-guru di sekolah, iaitu isu yang bertajuk “Tekanan Emosi dalam Kalangan Murid”. Tekanan atau juga disebut sebagai stres merupakan satu bentuk kecelaruan emosi yang kerap berlaku pada masa kini. Individu yang menderita akibat tekanan biasanya menunjukkan pemikiran yang negatif, enggan melibatkan diri dalam aktiviti dan kesukaran berinteraksi secara interpersonal (Abbas & Lida, 2013). Dalam satu kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan pada tahun 2006, iaitu Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Malaysia mendapati masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja adalah 20.3%, meningkat sebanyak 13% berbanding tahun 1996 (Utusan Melayu, 2011). Ternyata dapatan kajian ini amat membimbangkan dan perlu diberi perhatian dengan lebih serius. Malahan tiada kajian lanjutan yang menunjukkan masalah ini mengalami penurunan.

            Tekanan juga disifatkan dapat menyebabkan beberapa perubahan tingkah laku dan tubuh badan seperti kesakitan fizikal, gangguan emosi dan psikologi serta kemerosotan prestasi seseorang (Jerrold dlm. Mohamad Zaid et.al, 2009). Isu ini mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak namun jika dibiarkan tanpa jalan penyelesaian ia akan memberikan kesan jangka panjang yang memudaratkan. Hal ini disokong oleh Sapora (2001) dalam penulisannya menyatakan bahawa telah banyak kajian yang dilakukan mendapati tekanan atau stres mempunyai hubungan yang kuat dalam mempengaruhi pencapaian akdemik pelajar. Menguatkan lagi kenyataan ini, Campbell dan Svenson (dlm. Mastura et.al, 2007) menegaskan apabila tekanan dilihat dari aspek negatif atau terlalu tinggi ianya boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan dan pencapaian akademik seseorang lantas menjadikan ia suatu fenomena yang membimbangkan.

            Emosi pula membawa definisi bangkitan perasaan dan rasa dalaman hasil tindak balas seseorang terhadap sesuatu perkara, pengalaman dan peristiwa yang berlaku seperti emosi takut, marah, kecewa, gembira, suka dan kasih sayang (Muhammad Uthman Najati dlm. Fariza, 2005). Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) pula menyebut emosi sebagai satu perasaan jiwa yang kuat seperti sedih, marah, takut, ketawa dan menangis yang terangsang dan melibatkan perubahan psikologi serta fisiologi pada seseorang. Oleh itu, emosi atau gangguan emosi akan memberi kesan buruk kepada individu yang mengalaminya jika tidak dapat dikawal dengan baik. Rentetan daripada Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Malaysia yang dijalankan, didapati bahawa 11% golongan muda berusia 16 tahun hingga 24 tahun yang menghadapi tekanan emosi ini pernah terfikir untuk membunuh diri (Dewan Siswa, 2012).

            Maka, dalam konteks penulisan ini tekanan emosi dalam kalangan murid boleh dikatakan sebagai suatu situasi yang menyebabkan seseorang tertekan emosinya akibat daripada peristiwa, pengalaman, atau bebanan di luar kemampuan mereka. Akta Kanak-Kanak 2001 (2006) pula mencatatkan bahawa kanak-kanak dikategorikan mengalami gangguan emosi jika wujud kerosakan pada fungsi mental dan emosi sehingga menyebabkan gangguan mental dan tingkah laku, kebimbangan, kemurungan, memencilkan diri dan menunjukkan tingkah laki permusuhan. Justeru, setiap isu yang membawa kepada tekanan emosi murid perlu ditangani segera agar matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani dapat dicapai.

2.0       ISU TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID

Tekanan emosi dalam kalangan murid boleh berlaku dalam pelbagai bentuk antaranya kegelisahan, menunjukkan tingkah laku distruptif dan mengasingkan diri daripada elemen-elemen di persekitarannya. Sebagai seorang guru pelatih, saya telah pernah ditempatkan di beberapa buah sekolah bagi menjalani Program Berasaskan Sekolah (PBS) dan Praktikum. Peluang mengenali empat buah sekolah semasa PBS dan tiga buah sekolah semasa menjalani praktikum banyak memberi pendedahan kepada saya isu-isu yang berlaku di sekolah sama ada melibatkan pentadbir, guru mahu pun murid-murid. Isu tekanan emosi dalam kalangan murid juga pernah dihadapi beberapa kali.

            Berdasarkan kepada pengalaman saya menjalani praktikum pada kali pertama di Sekolah Kebangsaan Bertam Ulu, saya telah berhadapan dengan seorang murid yang boleh dikategorikan mengalami tekanan emosi. Murid ini saya namakan sebagai Ahmad (bukan nama sebenar), merupakan murid Tahun 4 Harmoni. Saya ditugaskan untuk mengajar subjek Matematik kelas ini sepanjang tempoh satu bulan praktikum. Murid ini sering menunjukkan pemberontakan dari segi tingkah lakunya. Pada awalnya, saya tidak perasan akan sikap yang ditunjukkan oleh murid ini dan menganggap tingkah laku yang ditunjukkan hanya sekadar mahu menarik perhatian saya sebagai guru baru mereka. Namun begitu, tingkah laku distruptif yang kerap kali ditunjukkan mendorong saya untuk menyelidik serba sedikit latar belakang murid ini.

            Saya banyak bertanyakan kepada guru kelas murid tersebut, rakan-rakan guru lain dan juga Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (GPK HEM) tentang murid tersebut. Agak memeranjatkan apabila setiap guru yang ditanya pasti memberikan respons negatif. Ahmad didapati sememangnya bermasalah sedari berada di Tahun 1 lagi. Beliau juga tidak disenangi oleh rakan-rakan yang lain. Malahan rakan-rakannya turut menjauhkan diri daripadanya kerana takut akan sikapnya. Menurut GPK HEM tersebut, Ahmad mengalami tekanan disebabkan faktor keluarga. Ahmad hanya mempunyai dua orang adik-beradik. Namun begitu, hanya adiknya sahaja dipelihara oleh ibu bapanya manakala Ahmad dijaga sepenuhnya oleh neneknya. Ibu bapa Ahmad tidak dapat memberikan tumpuan kepadanya kerana kedua-duanya bekerja di kilang dan jadual kerja yang tidak menentu menyebabkan mereka tiada masa bersama-sama.

            Semasa mengajar di kelas tersebut, berlaku beberapa insiden yang melibatkan antara beliau dengan saya sehingga mengundang kemarahan guru-guru lain kerana Ahmad dianggap tidak menghormati saya walaupun saya hanya guru praktikum. Insiden pertama ialah ketika melakukan aktiviti bersama-sama di dalam kelas, saya telah menegur Ahmad kerana menconteng mejanya. Disebabkan rasa tidak puas hati, Ahmad telah menggumpalkan kertas di atas mejanya dan melemparkan ke arah saya yang betul-betul berada di hadapannya. Insiden kedua pula berlaku semasa saya sedang diselia bagi penyeliaan kali terakhir oleh pensyarah dan ia benar-benar menguji kesabaran saya. Ahmad tidak berpuas hati dengan murid-murid perempuan di dalam kelasnya yang mengatakan beliau memunyai bulu mata lentik seperti perempuan telah bertindak menolak meja-meja di dalam kelas tersebut dan mengeluarkan kata-kata kesat. Tingkah laku – tingkah laku bermasalah ini pernah saya catatkan dalam jurnal mingguan ketika itu (rujuk lampiran).

Pada awalnya saya selalu bertegas dengannya kerana tidak mahu sikapnya mempengaruhi rakan-rakannya yang lain. Namun, setelah mengetahui latar belakang dan masalah yang dihadapi oleh Ahmad saya cuba untuk memahaminya dengan lebih baik. Pada pandangan saya, adalah amat tidak adil sekiranya semua guru bertindak untuk menghukum Ahmad tanpa mengambil kira permasalahan yang dihadapinya. Rata-rata guru yang mengenali dan pernah mengajar Ahmad hanya menceritakan sikap negatifnya sahaja tetapi tidak mengetahui latar belakang Ahmad. Hukuman demi hukuman yang diberikan kepada Ahmad sebenarnya lebih banyak mengeruhkan keadaan. Sudahlah Ahmad tidak mendapat kasih sayang sepenuhnya dan selayaknya di rumah, di sekolah pula kasih sayang yang diharapkan daripada guru-guru juga tidak kesampaian.

Menurut Haliza dan Joy (2009), terdapat beberapa tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid bagi mendapatkan perhatian guru, antaranya ialah murid sering membuat tingkah laku yang mengundang kemarahan guru sama seperti kes ini. Sebagai seorang guru yang bertanggungjawab, guru tidak boleh menghukum murid dengan sewenang-wenangnya. Hal ini akan mengakibatkan tekanan emosi yang dihadapi di rumah akan bertambah teruk. Dari sudut negatifnya kepada murid, murid akan melihat persekitaran sekolah sebagai satu ancaman baharu. Selanjutnya, ia akan mengundang tingkah laku distruptif lain dan mungkin akan menimbulkan gejala lain seperti ponteng dan pengambilan dadah untuk menenangkan diri sendiri.

            Dalam kes berasingan, pengalaman ini dihadapi ketika saya menjalani Praktikum Fasa III di Sekolah Kebangsaan Bongek, Rembau. Murid yang menghadapi gangguan emosi ini merupakan murid Tahun 5, iaitu Tuah (bukan nama sebenar). Sama seperti kes Ahmad, Tuah mengalami gangguan emosi kerana faktor keluarga dan menunjukkan tingkah laku yang tidak menyenangkan. Menurut Noriati et.al (2010), murid yang mengalami gangguan emosi akan menunjukkan sikap-sikap seperti liar, ganas, tidak sabar, kerap mengamuk dan berkecenderungan menunjukkan tingkah laku yang kurang sesuai dengan situasi-situasi normal. Sikap-sikap yang dinyatakan sering ditunjukkan oleh Tuah apabila beliau diganggu oleh rakan-rakan walaupun beliau seorang yang pendiam dan pasif di dalam kelas. Sikap ‘luar biasa’ Tuah ini sememangnya amat bertentangan dengan penampilan luarannya. Namun begitu, rakan-rakan Tuah amat memahami dirinya dan tidak pernah meminggirkan atau menyisihkan Tuah.

            Tempoh praktikum selama tiga bulan memberikan saya ruang untuk mengenali Tuah dengan lebih dekat. Saya tidak mengajar kelas Tuah tetapi saya mengenalinya semasa melatih pasukan Bicara Berirama sekolah dan Tuah merupakan salah seorang ahli dalam pasukan tersebut. Sesi latihan yang dijalankan kerap terganggu akibat daripada sikap Tuah yang sukar dikawal. Walaupun beliau seorang yang pendiam, beliau tidak gemar apabila rakan-rakannya mengusiknya atau terusiknya secara tidak sengaja. Semasa sesi latihan Tuah pernah bertumbuk dengan murid lain hanya kerana murid tersebut terlanggar sikunya. Tuah terus mengamuk dan meninggalkan bilik latihan selepas saya meleraikan pergaduhan tersebut. Hal ini menunjukkan Tuah sedang mengalami gangguan emosi kerana menurut Lailawati (2006), masalah tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid kebanyakannya adalah disebabkan oleh emosi. Tambahan lagi seseorang yang mempunyai emosi yang tinggi dikatakan cenderung menunjukkan tingkah laku sosial yang rendah (Eisenberg & Febes dlm. Lailawati, 2006).

Apabila terjadinya kejadian tersebut, saya banyak bertanya kepada rakan-rakan guru tentang sikap Tuah. Guru-guru banyak menasihati saya agar tidak menegurnya sekiranya beliau menunjukkan tanda-tanda kemarahan. Kejadian Tuah bertumbuk dengan murid lain semasa perhimpunan pagi atau di dalam kelas juga seperti sudah menjadi kebiasaan dan selalunya guru-guru akan menarik murid yang terlibat dan membiarkan Tuah bersendirian untuk menenangkan dirinya. Oleh itu, semasa tempoh internship saya telah memberikan soal selidik kepada dua orang guru yang sangat mengenali Tuah untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci. Hal ini kerana sebelum ini saya hanya mendengar cerita tentang Tuah melalui lisan sahaja. Guru yang disoal selidik merupakan guru yang pernah mengajar Tuah beberapa kali sehingga kini. Guru-guru tersebut juga tidak terlepas daripada menghadapi insiden-insiden yang melibatkan gangguan emosi dalam diri Tuah.

Berdasarkan soal selidik yang diberi (rujuk lampiran), Tuah didapati mengalami gangguan emosi setelah kehilangan ibunya dalam suatu kemalangan jalan raya semasa beliau berusia 6 tahun. Sejak dari itu, Tuah menjadi seorang yang pendiam, sensitif dan rindukan kasih sayang daripada ibunya. Ayah Tuah merupakan guru di sekolah ini dan karakter yang ditunjukkan oleh ayah Tuah juga turut menggambarkan beliau amat terkesan dengan kejadian tersebut. Ayah Tuah seorang guru yang tidak banyak bercakap dan banyak melakukan kerja sendiri. Jelas sekali kehilangan ibunya merupakan faktor utama yang menyebabkan Tuah sering mengalami gangguan emosi. Tambahan lagi Tuah kehilangan ibunya pada usia yang sangat kecil, iaitu pada fasa sepatutnya beliau mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada seorang ibu.

Pada pandangan saya, guru-guru perlu mengambil berat terhadap gangguan emosi yang dihadapi oleh Tuah sehingga menyebabkan beliau sering bertindak agresif. Hal ini kerana Tuah merupakan seorang murid yang cerdas tetapi akibat gangguan-gangguan yang diterima, ia memberi kesan kepada pencapaian akademiknya. Soal selidik yang diberikan kepada gurunya juga menunjukkan pencapaian akademik Tuah terganggu kerana sikapnya yang sering keluar kelas apabila berhadapan situasi yang tidak menyenangkan. Sapora (2001) menjelaskan bahawa tahap stres yang tinggi akan meninggalkan kesan yang negatif ke atas proses pembelajaran seseorang berbanding kesan positif. Menurut Chan dan Rodziah (2012) dalam kajian mereka turut mendapati bahawa prestasi akademik murid yang dikaji yang mengalami gangguan emosi daripada pelbagai faktor berada pada tahap yang rendah. Hal ini kerana ketidakupayaan murid untuk menangani gangguan yang dihadapi menyebabkan mereka terus mengabaikan pelajaran. See dan Lee (2005) pula telah mencatatkan beberapa kajian oleh pengkaji-pengkaji barat dalam kajiannya antaranya ialah Allchin (1975), Ghuman dan Sarles (1998) serta Weiner (1970) dan Adelson (1980) yang menunjukkan gangguan emosi memberi kesan terhadap pencapaian akademik pelajar.

Selain itu, guru-guru perlu menangani konflik yang dihadapi oleh Tuah agar ia tidak menular dalam kalangan rakan-rakannya. Murid-murid sememangnya amat mudah terpengaruh dengan rakan-rakan mereka terutamanya perkara-perkara yang negatif. Menurut Haliza dan Joy (2009) pengaruh rakan sebaya yang tidak dikawal boleh mendatangkan masalah disiplin lain dan seterusnya membentuk dinamika kumpulan yang mempunyai nilai dan kecenderungan yang sama. Sikap guru yang hanya membiarkan tindakan Tuah tanpa mengenakan sebarang tindakan akan mempengaruhi murid lain untuk melakukan tindakan yang sama. Hal ini kerana murid lain akan beranggapan bahawa tidak menjadi suatu kesalahan untuk melakukan tindakan seperti Tuah. Hukuman atau dendaan perlu dikenakan kepada Tuah bukan untuk menghukumnya secara terus tetapi untuk membantunya menstabilkan emosinya. Di samping itu, tindakan tersebut akan memberi gambaran kepada murid bahawa setiap murid yang melakukan kesalahan tidak akan terlepas dari sebarang hukuman walaupun ibu atau ayah mereka merupakan guru di sekolah tersebut.


3.0       JENIS GANGGUAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID

Berdasarkan kedua-dua kes yang diceritakan, Ahmad dan Tuah didapati mengalami gangguan emosi ringan. Menurut Syed Ismail dan Ahmad Subki (2013), murid yang mengalami gangguan emosi ringan biasanya tidak terlalu kelihatan ciri-ciri dari luarannya dan masih mampu untuk mengawal diri masing-masing. Malahan Tin (2000) pula menyifatkan murid-murid yang mengalami gangguan emosi akan mempamerkan kehidupan emosi yang tidak stabil, tidak mampu bertindak balas dengan tepat sukar mengawal dirinya sendiri. Tambahan lagi Tin turut menggariskan beberapa tingkah laku yang menunjukkan gangguan emosi ringan seperti pemalu, sering suka menyendiri, mudah tersinggung, sering marah, tidak mahu mengalah, kurang disenangi oleh rakan-rakan, sering bergaduh, menyerang dan memukul rakan atau guru.

            Berikutan daripada gangguan emosi yang dialami oleh Ahmad dan Tuah, mereka telah menunjukkan tanda-tanda seperti selalu mengamuk, cepat marah dan pencapaian akademik yang merosot. Menurut Sue et.al (dlm. Azizi dan Tan, 2007), individu yang mengalami gangguan emosi boleh mendatangkan ketidakselesaan yang subjektif atau mengganggu kebolehan seseorang untuk berfungsi secara normal atau kedua-duanya sekali sehingga boleh menyebabkan sindrom kemurungan dan mania. Tanda-tanda yang dialami oleh Ahmad dan Tuah boleh membawa kepada gangguan emosi yang berat sekiranya tidak diatasi dengan lebih cepat. Ahmad dan Tuah juga memerlukan sokongan dan bantuan daripada persekitarannya untuk mengatasi gangguan tersebut memandangkan tahap kognitif mereka yang masih rendah.

            Azizi dan Tan (2007) melabelkan individu yang mempunyai tanda-tanda seperti Ahmad dan Tuah sebagai individu yang menghidap sindrom mania. Hal ini kerana menurut penulisannya, individu yang mengalami sindrom ini biasanya berasa riang dan bertenaga tetapi mereka mudah melenting lebih-lebih lagi apabila dikritik atau dihalang daripada melakukan sesuatu yang diingini. Tambahnya lagi, individu tersebut mengalami masalah ketenangan perasaan yang tidak normal, misalnya gagal untuk memberikan tindak balas yang sepatutnya apabila menerima berita buruk. Menurut Mary (2001), sindrom mania merupakan penyakit yang membawa kepada perubahan emosi, pemikiran, dan tingkah laku. Penyakit ini dikatakan menyerang hampir dua juta penduduk Amerika Syarikat pada setiap tahun.

4.0       FAKTOR GANGGUAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID

Melalui kedua-dua kes yang dialami, kedua-dua murid didapati mengalami gangguan emosi disebabkan faktor keluarga. Keluarga sememangnya sebuah institusi yang memainkan peranan penting bagi setiap individu terutama anak-anak kecil. Syed Ismail dan Ahmad Subki (2013) menyatakan ibu bapa merupakan pengaruh yang besar dalam membentuk tingkah laku anak sejak dari kecil dan kecuaian ibu bapa untuk memahami peranan mereka akan menjadikan anak-anak hilang panduan dan keliru dalam menjalani hidupnya. Perhubungan negatif antara ibu bapa dengan anak-anak boleh menimbulkan konflik yang tinggi dan memberi tekanan terhadap ibu bapa dan anak-anak. Montemayor (dlm. Sapora, 2005) berpendapat bahawa satu daripada konflik yang berlaku dalam keluarga akan menimbulkan emosi yang kuat dan tidak sihat. Tambahan lagi menurut Kasmini Kassim, seorang Pakar Psikiatri Kanak-kanak di Malaysia, gangguan emosi yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kebanyakannya disebabkan reaksi terhadap tekanan yang dialami oleh mereka (dlm. Fariza, 2005).

            Dalam kes Ahmad, kehidupan ibu bapanya yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa untuk bersama-sama dengannya merupakan punca utama kepada gangguan emosi yang dihadapi oleh beliau. Sebagai ibu bapa, ibu bapa Ahmad perlu faham akan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka. Tanggungjawab ibu bapa bukanlah sekadar zahiriahnya sahaja dengan menyediakan tempat tinggal mahu pun kelengkapan peribadi. Perkara yang lebih penting ialah belaian kasih sayang ibu bapa terhadap anaknya. Shaffer et.al. (2011) dalam dapatan kajiannya menulis bahawa risiko kontekstual apabila berada dalam keluarga yang tidak menyokong antara satu sama lain atau “unsupportive parenting” memberi kesan terhadap emosi negatif kanak-kanak. Oleh itu, kegagalan ibu bapa Ahmad memenuhi keperluan emosinya menyebabkan emosi Ahmad terganggu dan mencari ruang untuk melempiaskan emosinya ketika berada di sekolah. Lantaran itu, pelbagai salah laku dilakukan oleh Ahmad.

            Berlainan dengan kes Tuah, faktor keluarga yang menyebabkan gangguan emosi terhadap dirinya lebih bersifat semula jadi. Hal ini kerana Tuah mula mengalami gangguan emosi apabila kehilangan ibunya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. Perkara ini menyebabkan Tuah kekurangan kasih sayang dan dahagakan belaian dari ibunya. Berdasarkan soal selidik yang dijalankan, guru yang menjawab soal selidik tersebut telah menceritakan pengalaman beliau terhadap beliau. Menurut guru tersebut, semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung dan murid-murid disoal tentang keluarga mereka, murid-murid lain memberi respons dan menceritakan kisah keluarga mereka. Walau bagaimanapun, Tuah enggan menceritakan perihal keluarganya dan bertindak mengoyakkan buku latihannya lalu keluar dari kelas.

            Menurut Azizi dan Badrulzaman (2010), murid yang mengalami gangguan emosi ini gagal melihat keluarga sebagai suatu persekitaran yang sihat dan boleh memberikan kebahagiaan serta rasa seronok kepada mereka. Tinjauan terhadap kajian-kajian lain seperti Sigurdsson (1996) dan Sokol-Katz (1997) (dlm. Azizi dan Badrulzaman, 2010) mencatatkan bahawa perkembangan personaliti negatif dan tingkah laku merupakan hasil daripada kegagalan dalam ikatan kekeluargaan. Fariza (2005) dalam penulisannya juga menyatakan faktor keluarga turut menumbang kepada tekanan emosi murid-murid. Emosi remaja dikatakan akan menjadi stabil jika keluarga bahagia, sebaliknya jika berada dalam keluarga yang kucar-kacir maka emosi murid akan terganggu. Azizi Yahaya, Nordin Yahaya dan Juriah Bachok (2010) dalam kajiannya terhadap hubungan kekeluargaan dengan kecerdasan emosi menunjukkan bahawa faktor keluarga memperlihatkan peningkatan kepada 17.9% selepas jantina. Hal ini jelas menunjukkan keluarga merupakan institusi yang sangat penting dalam mempengaruhi emosi murid-murid.

            Mengulas lebih lanjut faktor gangguan emosi dalam kalangan murid ini, Kasmini Kassim (1998) dalam kajiannya bertajuk “Penderaan Emosi Kanak-kanak: Trauma Terselindung” menyatakan gangguan emosi yang dihadapi oleh kanak-kanak boleh berlaku disebabkan tertumpahnya masalah dan konflik orang dewasa kepada kanak-kanak tersebut. Dalam kajian tersebut, beliau mengambil pandangan Garbarino, Gatmann dan Sealey et.al. (1986) yang menggariskan lima tingkah laku ibu bapa atau penjaga yang dikira sebagai mendera emosi kanak-kanak, iaitu penolakan, pengasingan, menakutkan, sikap tidak peduli, dan merasuah fikiran. Daripada kelima-lima tingkah laku tersebut, tindakan menunjukkan sikap tidak peduli oleh penjaga boleh dikaitkan dengan kes Ahmad. Tingkah laku sikap tidak peduli ini didefinisikan sebagai menolak tindak balas emosi, yang mana tingkah laku ibu bapa atau penjaga yang dengan sengaja tidak mempedulikan usaha anak untuk mendapatkan kasih sayang daripada mereka.

            Tambahan lagi, kenyataan tersebut menyebut ibu bapa golongan ini melayan anak mereka secara mekanikal sahaja. Dalam kata lain mereka tidak mempunyai perasaan terhadap anak-anak malahan tidak mencuba untuk merapati dan membelai anak-anak tersebut sehingga menyebabkan berlakunya konflik emosi dalam diri kanak-kanak tersebut. Dalam kes Ahmad yang dijaga sepenuhnya oleh neneknya, walaupun Ahmad disediakan kemudahan-kemudahan fizikal seperti tempat tinggal dan pakaian yang mencukupi oleh neneknya, Ahmad tidak berpeluang untuk bermanja-manja dan mendapat kasih sayang secara sentuhan. Hal ini kerana nenek Ahmad terpaksa keluar mencari rezeki walaupun pada usia lanjut bagi memastikan mereka mempunyai perbelanjaan yang mencukupi. Sebagai kanak-kanak yang mempunyai ramai rakan seusianya dan mempunyai keluarga yang lengkap dan bahagia, tindakan atau keadaan yang dialami oleh Ahmad bertentangan dengan fitrahnya yang mahukan kasih sayang daripada ibu bapanya mahu pun neneknya sebagai penjaga.

            Selain itu, pada pandangan saya dalam kes Tuah pula kehilangan ibunya sejak dari kecil sehingga menyebabkannya mengalami gangguan emosi merupakan lumrah kehidupan. Kesalahan tidak boleh diletakkan sepenuhnya ke atas ayahnya kerana sebaik mana pun ayahnya memberi layanan kepada Tuah, kasih seorang ibu tiada galang gantinya. Semasa saya menjalani praktikum dan berada bersama-sama ayah Tuah yang juga guru di sekolah terbabit, saya melihat ayah Tuah sebagai seorang yang cukup memahami anaknya. Guru tersebut tidak pernah berkasar bahasa dengan Tuah malahan lebih banyak memberi ruang kepada Tuah untuk menenangkan diri sendiri apabila menghadapi masalah. Sebagai contohnya, semasa Tuah dimarahi oleh seorang guru lain di makmal komputer, yang mana pada waktu itu ayahnya turut berada sama dalam situasi tersebut; Tuah telah bertindak keluar dari makmal tersebut dan melarikan diri sehingga keluar sekolah.

         Rentetan daripada itu, ayah Tuah telah bertindak mengekori Tuah dan menghantarnya pulang kerana keengganan Tuah untuk kembali ke sekolah. Pada keesokan harinya, apabila rakan-rakan guru bertanya tentang situasi Tuah, ayah Tuah memberitahu bahawa Tuah sememangnya tidak akan melayan pujukan ayahnya dan hanya boleh menerima pujukan kakaknya. Maka jelaslah dapat dilihat di sini Tuah masih memerlukan insan yang bergelar wanita untuk memahami isi hatinya. Tidak mustahil dalam hal ini kakak Tuah telah memainkan peranan yang amat besar dalam hidupnya sehingga Tuah dapat menerima kakaknya ibarat ibunya sendiri. Fitrah manusia juga terutama bagi kanak-kanak, kanak-kanak perempuan akan lebih mudah mendekati ayahnya manakala kanak-kanak lelaki akan lebih seronok mendampingi ibunya. Hal ini turut disokong oleh Teori Perkembangan Sosio-Emosi Sigmund Freud, iaitu kanak-kanak lelaki akan mengalami keadaan oedipus kompleks iaitu lebih tertarik kepada ibunya manakala kanak-kanak perempuan akan mengalami elektra kompleks iaitu tertarik kepada ayahnya (Zakaria et.al., 2012).

            Berdasarkan faktor-faktor yang dinyatakan, Norly (2010) menyifatkan keluarga atau ibu bapa dianggap sebagai sosialisasi yang mempengaruhi tahun-tahun awal kanak-kanak seharusnya menjadi model ekspresi emosi kepada kanak-kanak. Hal ini kerana berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Norly (2010), kanak-kanak yang menghadapi masalah dalam melahirkan perasaannya mempunyai risiko untuk menunjukkan tingkah laku bermasalah yang tinggi. Justeru, kajian tersebut menyarankan agar kanak-kanak dan ibu bapa mempertingkatkan kemahiran emosi sesama mereka.

5.0       PERANAN GURU MENANGANI TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID

Tekanan emosi yang dialami oleh murid-murid pada masa kini sering dilihat berpunca dari rumah dan keluarga yang kucar-kacir. Namun begitu, guru memainkan peranan penting bagi membantu murid-murid menangani masalah tersebut. Hal ini kerana murid-murid menghabiskan masa hampir 8 jam berada di sekolah setiap hari dan kadang-kala masa ini melebihi masa mereka bersama-sama ibu bapa mereka. Chan dan Rodziah (2012) menulis disebabkan murid menghabiskan banyak masa di sekolah, guru juga menjadi pemangkin kepada kecerdasan emosi murid. Tambahnya lagi Pusat Perkembangan Kurikulum turut menggariskan bahawa terdapat beberapa subjek seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral yang boleh memenuhi perkembangan emosi murid walaupun tiada satu subjek khas bagi pembelajaran emosi dan sosial dalam kurikulum. Justeru, di sinilah guru perlu mencari ruang bagi membangunkan perkembangan emosi murid secara tidak langsung dalam kurikulum yang dijalankan.

            Mohd Sahandri et.al. (2011) menggariskan beberapa elemen yang membolehkan guru membantu murid menangani tekanan emosi yang dihadapi. Antaranya ialah guru perlu mempamerkan sentuhan peribadi dan menunjukkan perasaan belas kasihan. Dalam aspek mempamerkan sentuhan peribadi(personal touch), guru-guru perlu berhubung dengan murid-muridnya secara profesional. Guru-guru akan mendorong murid-murid untuk berkongsi pengalaman di dalam kelas, mengambil berat dan memahami setiap muridnya secara personal serta cuba memahami masalah yang dialami oleh murid-muridnya. Melalui cara ini guru berpeluang untuk mengenali personaliti murid dengan lebih dekat di samping mengetahui latar belakang keluarga dan persekitarannya. Pengetahuan yang diperoleh oleh guru dapat digunakan bagi membantu murid menghadapi tekanan emosi yang yang dilalui. Sebagai contoh dalam kes Ahmad, guru-guru pasti akan memberi layanan yang berbeza sekiranya mereka mengetahui latar belakang dan masalah keluarga yang dihadapi oleh Ahmad. Layanan yang seakan-akan tidak memahami masalah yang dihadapi murid akan menyebabkan murid berasa lebih tertekan dan mencari jalan alternatif bagi memuaskan dirinya.

            Dari segi menunjukkan belas kasihan pula, guru akan sentiasa mengambil berat masalah peribadi yang dihadapi oleh murid. Sikap prihatin yang ditunjukkan oleh guru memberi peluang kepada murid untuk berkongsi masalah. Murid sememangnya tidak mengharapkan bantuan yang besar daripada guru seperti bantuan kewangan, tetapi perkara yang lebih penting ada individu yang sentiasa cuba memahami mereka. Hal ini kerana perasaan terbiar yang dialami di rumah membuatkan mereka mencari peluang mendapatkan kasih sayang daripada para guru pula terutamanya guru-guru wanita. Tambahan lagi guru sememangnya diibaratkan sebagai ibu dan bapa kepada semua murid ketika berada di sekolah. Maka, tidak salah bagi seorang guru untuk mempamerkan rasa belas kasihan dan memberi sedikit kasih sayang kepada murid-murid.
            Abdul Ghani dan Abd. Rahman (2009) pula berpendapat bagi menguruskan murid yang menghadapi gangguan emosi yang menunjukkan masalah tingkah laku, guru perlu menguruskannya dari aspek kemanusiaan. Hal ini kerana mereka mencatatkan bahawa memperkasa kecerdasan emosi bagi membentuk tingkah laku murid dan mengurus tingkah laku murid melalui pemikiran kritis merupakan elemen dalam aspek kemanusiaan. Nilai-nilai penting dalam aspek kemanusiaan ini ialah keadilan, dorongan, kebebasan, keyakinan dan kepercayaan. Aspek kemanusiaan ini akan membantu guru mengurus tingkah laku murid menjadi insan yang lebih bertanggungjawab dan membentuk sahsiah murid. Oleh itu, dalam hal ini guru merupakan model terbaik bagi murid dan hubungan baik antara guru dan murid boleh membawa kepada kecerdasan emosi murid yang lebih baik.

            Roslee et.al. (2004) dalam kajiannya pula mencadangkan pendekatan kaunseling kelompok boleh digunakan bagi menangani masalah emosi dalam kalangan murid. Kajian yang dijalankan terhadap kelompok anak-anak yatim terpilih mendapati kaunseling kelompok dapat membawa kepada perubahan sikap yang positif, mewujudkan kemesraan dan sikap keterbukaan. Hal ini kerana dalam kaunseling kelompok yang dijalankan, murid akan meluahkan perasaan yang negatif dan akan mewujudkan kepercayaan dan kebebasan ahli kelompok. May dan Housley (dlm. Roslee et.al, 2004) menyatakan pendekatan kaunseling kelompok boleh ditawarkan kepada murid yang memerlukan bantuan emosi secara lebih berkesan dan bertujuan dengan syarat ia dibuat perancangan secara terperinci. Dalam kaunseling kelompok tersebut, guru akan menggunakan pelbagai kemahiran seperti membina perhubungan, menstruktur, memberi maklum balas, berempati, dan memberi dorongan minima yang dapat membantu melancarkan proses kaunseling kelompok yang dijalankan.

6.0       KESIMPULAN

Berdasarkan isu-isu yang dikemukakan, jelaslah dilihat bahawa isu tekanan emosi dalam kalangan murid merupakan isu yang acap kali berlaku di sekolah. Tekanan emosi yang ditunjukkan dalam pelbagai bentuk memerlukan kemahiran dan pengetahuan guru untuk menanganinya dengan baik. Isu tekanan emosi dalam kalangan murid turut mendorong Kementerian Kesihatan menjalankan kajian melalui projek rintis Program Minda Sihat Menangani Stres dalam Kalangan Murid (Hakimi, Utusan Malaysia 2011). Beberapa buah sekolah menengah di seluruh Malaysia telah dipilih bagi menjalani projek rintis ini.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada waktu itu, projek rintis tersebut akan diperluaskan di semua sekolah sebagai satu usaha meningkatkan kesejahteraan dalam kalangan murid dan warga sekolah serta sebagai persediaan mengelakkan perkara lebih serius berlaku. Keprihatinan pihak kementerian dalam memandang serius isu tekanan yang dihadapi oleh murid amat wajar. Hal ini kerana murid yang berada dalam keadaan tertekan pasti akan mengundang pelbagai masalah lain di samping tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Oleh itu, seharusnya semua pihak termasuk ibu bapa, guru-guru dan ahli masyarakat setempat saling membantu dalam menangani isu ini.


>.<  Beluncas Biru  

No comments:

Post a Comment